Saturday, January 29, 2011

Perlu tonjolkan syarikat Malaysia berkelas dunia

Perlu tonjolkan syarikat Malaysia berkelas dunia

KUALA LUMPUR 28 Jan. - Kerajaan berhasrat membantu menonjolkan syarikat-syarikat Malaysia yang mempunyai keupayaan di peringkat antarabangsa.
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Mukhriz Tun Mahathir berkata, langkah itu dibuat berikutan pihak kementerian mendapati negara ini mempunyai ramai bakat dan kepakaran dalam pelbagai bidang, namun kurang ditonjolkan di peringkat antarabangsa.
Katanya, sebagai contoh, dalam bidang minyak dan gas, Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) sendiri telah memainkan peranan dengan mewujudkan persekitaran yang sihat bagi para pemain industri untuk berkembang.
Beliau memberitahu, Petronas seharusnya menggiatkan usaha mengembalikan kejayaan syarikat tempatan yang akan membuktikan kejayaan rancangan kerajaan.
"Kami di kementerian mengalu-alukan syarikat-syarikat tempatan supaya meningkatkan keupayaan dan menggunakan teknologi terkini supaya memberi nilai tambah kepada aktiviti operasi masing-masing dan meningkatkan pendapatan ekonomi kepada kerajaan,'' katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis pelancaran kenderaan bawah air terbaru iaitu kenderaan dalam air berautonomi (AUV - Autonomous Underwater Vehicle) yang dinamakan HUGIN 1,000 di sini hari ini.
Hadir pada majlis ialah Pengerusi OffShore Works Malaysia, Datuk Wahiruddin Abd. Wahid dan Presiden OffShore Works Asia Pacific, Amran Wahid.
OffShore Works merupakan syarikat pertama di Asia dan keempat di dunia yang mempunyai AUV.
Tambah Mukhriz, cabaran kepada syarikat OffShore Works adalah untuk memastikan perkhidmatan AUV tersebut dipromosi secara agresif dan digunakan bukan sahaja di dalam negara, sebaliknya di peringkat antarabangsa.
"Saya amat berbangga setelah diberitahu bahawa bakat tempatan telah dihantar mengikuti program intensif latihan AUV di Norway bagi mengendalikan robot moden tersebut,'' ujarnya.
Mukhriz menambah, PKS yang menggunakan teknologi tinggi boleh bersaing antara satu sama lain berdasarkan merit teknologi.
Bagaimanapun, katanya, syarikat-syarikat terbabit memerlukan modal dan kebolehan pasaran bagi menjayakannya.
"Rayuan saya kepada Petronas adalah untuk segera membantu kerajaan dengan menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS), lebih-lebih lagi di kalangan bumiputra.
"Malah, saya sentiasa bersedia untuk berjumpa dengan pihak pegawai atasan Petronas untuk tujuan tersebut,'' kata beliau.

No comments:

Post a Comment